Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa kebakaran di Surau Batu 10, Gombak pada 24 Januari 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran di Gombak

SHAH ALAM, 25 JAN: Dato’ Menteri Besar menghulurkan sumbangan kewangan kepada tiga keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Batu 10, Gombak Utara pada Sabtu.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang melawat mangsa terbabit di Surau Batu 10 semalam turut memberi kata-kata semangat kepada mereka.

“Saya mendoakan agar keluarga ini diberikan kekuatan untuk mengharungi ujian dan musibah ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Keadaan tiga rumah di Batu 10, Gombak Utara yang terbakar pada 23 Januari 2021. Foto Ihsan Yide

Sementara itu, pengurus besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata pihaknya menyalur bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan lain berupa enam beg kit penjagaan peribadi mengandungi tuala, kain pelikat, baju harian, selimut dan kit pembersihan serta penjagaan diri.

“Yide bergegas memberi bantuan selepas dimaklumkan rumah tiga keluarga ini hangus dijilat api dipercayai berpunca daripada litar pintas.

“Kami berterima kasih kepada penyumbang yang menderma melalui Tabung Dana Musibah Yide,” katanya dalam kenyataan.

Wakil Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Batu 10, Gombak Utara pada 25 Januari 2021. Gambar Ihsan Yide

Nur Mohd Razali menambah salah seorang mangsa, Kamariah Man, 60, terpaksa berputih mata apabila mesin jahit dan beberapa pakaian tempahan pelanggan hangus terbakar.

Difahamkan, seramai enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selayang dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.30 malam.

Selain itu, operasi terbabit disertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.


Pengarang :