Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Kita Selangor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada 20 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB petik puisi Usman Awang, tegur darurat

SHAH ALAM, 20 JAN: Dato’ Menteri Besar memetik sebahagian puisi karya Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang yang mengkritik pengisytiharan darurat.

Sajak Kambing Hitam (Sebelum dan Sesudah 13 Mei) turut dijadikan ilham arca keranda berjudul May 13, 1969 nukilan Allahyarham Redza Piyadasa yang meluahkan kekecewaannya terhadap tragedi itu diikuti perintah darurat.

Selain Piyadasa, Dato’ Amirudin Shari juga menyebut karya berjudul Black Painting oleh Almarhum Ibrahim Hussein ketika membentang Pakej Kita Selangor pada 20 Januari.

Berhasrat sistem demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan dipulihkan secepat mungkin, beliau turut mengajak pemimpin politik memastikan asas demokrasi dan Raja Berperlembagaan terus kukuh.

“Saya yakin kita mampu menangani kesan jangka pendek dan jangka panjang Covid-19 dengan berpandukan perlembagaan serta memartabatkan amalan demokrasi yang berwibawa di negara ini.

“Krisis sebegini mengkehendaki pimpinan negara untuk lebih inklusif menerima dapatan, bukan sahaja daripada pihak pembangkang akan tetapi juga daripada kelompok organisasi masyarakat sivil.

“Manakala saya memahami niat dan usaha semua pihak termasuk Kerajaan Pusat untuk melandaikan keluk jangkitan COVID 19 akan tetapi kita semua harus berhati-hati agar Proklamasi Darurat ini tidak dieksploit,” katanya.

Amirudin juga menambah rakyat berhak marah terhadap ahli politik tetapi mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan emosi itu terhadap petugas barisan hadapan.

“Anda semua berhak marah terhadap ahli politik yang tidak pernah surut muslihatnya. Akan tetapi jangan sesekali jurus kemarahan itu ditumpukan kepada barisan hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan kecelaruan tatacara operasi piawai (SOP) bukan kesalahan petugas barisan hadapan sebaliknya kelemahan eksekutif dalam menangani kesan jangka panjang pandemik.

“Dalam lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersiko Rendah (PKRC) Serdang semalam (19 Januari), saya melihat komitmen barisan hadapan menjaga serta merawat pesakit tanpa henti. Mereka adalah wira yang berkorban keringat dan nyawa untuk kita semua,” katanya.

Pada 12 Januari, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat sehingga 1 Ogos atau tarikh lebih awal, bergantung kepada situasi wabak.


Pengarang :