Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Dataran Patriotik di Kompleks Pejabat Daerah, Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB jamin kemajuan Sabak Bernam, seiring daerah lain

SABAK BERNAM, 12 JAN: Dato’ Menteri Besar memberi jaminan pembangunan di Sabak Bernam akan seiring dengan daerah lain demi keperluan penduduknya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata industri agro pelancongan antara dilihat sesuai dimajukan berikutan nilai aset alam yang berkualiti tinggi selain konteks pertanian meluas.

“Sebahagian memang tarik perhatian cuma kurang dari aspek pengkomersialan. Jadi jawatankuasa khas yang ditubuhkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu rancang dengan teliti.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba mengendali jentera potong padi ketika lawatan ke sawah padi di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ditambah dengan projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang akan siap. Perancangan terbaik perlu dibuat daripada sekarang supaya tidak terlambat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dataran Patriotik Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Acara perasmian itu termasuk dalam agenda lawatan kerja Amirudin di Sabak Bernam.

Terdahulu, Amirudin merasmikan Bazaar Dorani Perdana yang menempatkan penjaja barangan basah serta makanan serta melakukan lawatan ke Perpustakaan Awam Daerah Sabak Bernam.

Sepanjang lawatan kerja setengah hari itu, Amirudin juga berkesempatan melawat sawah padi di Parit 1 Setengah, Sungai Haji Dorani serta ladang ayam di Parit Sembilan Gambut, Sungai Panjang.

Beliau juga turut melawat tapak Projek Smart Selangor Pekan Bagan Terap yang akan menempatkan peniaga secara berpusat sebelum menikmati makan tengah hari di Restoran Lembah Bernam, Sekinchan.


Pengarang :