Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

MB: Limpahkan nikmat sihat, makmur

Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Tahun Baharu 2021

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T, tuhan yang maha pengasih lagi maha
penyayang yang telah memberi kita kesempatan bernafas dan kekuatan untuk terus berjuang
meneruskan kehidupan sehingga saat ini.

Dalam keributan yang dibawa wabak Covid-19, saya mendoakan semua warga Selangor kekal dalam perlindungan Allah taala hendaknya.

Saya faham, kenaikan kes yang mendadak terutamanya dalam negeri yang kita cintai melahirkan rasa gelisah dan bimbang kepada kita semua. Tetapi kita harus tetap menjalankan kehidupan dan bekerja, menuntut ilmu serta bersosial dalam cara baharu yang mengikut tatacara operasi piawai (SOP) kerana akhirnya kita semua harus berperanan menjaga kesihatan kita sendiri.

Saya ambil maklum ramai antara kita yang sedang melalui saat-saat yang menggetirkan. Ada yang diberhentikan kerja. Ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan. Menyedari hal ini, Kerajaan Negeri telah menyusun banyak inisiatif bagi membantu rakyat yang kehilangan punca rezeki untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan bermaruah.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin yang pertama sehingga yang ketiga, beberapa langkah segera serta yang berjangka panjang telah diambil bagi meningkatkan kecekalan ekonomi rakyat. Beberapa cukai telah diberi penangguhan, sementara beberapa kelonggaran turut diberikan dan ditanggung kosnya oleh Kerajaan Negeri. Ini semua dalam rangka mengurangkan kesempitan yang dideritai rakyat saat ini.

Beberapa program baharu turut dirancang dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan serta keseluruhan aktiviti ‘job creation’. Antara yang utama adalah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman perniagaan serendah RM1 ribu untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan.

Lain-lain program termasuklah Selangor Kerjaya dengan kemahiran baharu, pertingkat kemahiran dan latihan semula serta Selangor Freelancer bagi semua yang memerlukan fleksibiliti dalam meraih punca rezeki dengan memanfaatkan bakat-bakat sedia ada.


Suasana di pusat pengumpulan sekitar e-kitchen Bangi di bawah dua platform iaitu Plats (Platform Selangor) & Grab. Sumber foto Bisnes Amal MBI FACEBOOK

Kerajaan Negeri turut secara agresif mempersiapkan beberapa platform agar rakyat tidak kira kaum, usia atau jantina agar dapat sama-sama menyertai ekonomi gig dengan mengadakan E-Kitchen bersama Grab dan juga jualan dalam talian e-Bazaar bersama Shopee.

Turut dibantu adalah mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat-syarikat e-hailing tetapi tidak mempunyai lesen motor—kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

Untuk menggalakkan orang ramai turut sama dalam anjakan digitalisasi yang cuba diterapkan, Kerajaan Negeri tampil menawarkan beberapa inovasi baharu yang bakal mempermudah hidup.

Untuk para pemilik perniagaan PRODUTK, satu sistem urustadbir yang bakal mempersiapkan mereka ke arah IR4.0 akan diperkenalkan tidak lama lagi. Turut diwujudkan Rakan Digital Selangor yang akan melatih dan membimbing semua anggota masyarakat agar lebih celik digital.

Ini semua penting agar kita semua lebih bersiap-siaga dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dan tentangan ekonomi masa depan, terutamanya dalam situasi perebakan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) pada majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Di sebalik penurunan penarafan Fitch rating serta keputusan beberapa syarikat gergasi luar seperti Tencent, Google, Amazon untuk tidak bertapak di Malaysia, Selangor akan terus menggembleng segenap usaha dalam menggalakkan sektor industri seperti fintech, pertanian moden malah perfileman dan permainan siber untuk terus berdaya saing dengan pelaburan
besar yang dipanggil Selangor Innovation Fund.

Geran berjumlah RM100 juta ini bakal memanfaatkan para pengusaha startup serta usahawan dan melimpahkan manfaat berantai dalam bentuk peluang pekerjaan dan lainlain kepada segenap masyarakat.

Untuk itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dollar dan benar-benar melampaui Malaysia dan pergi lebih jauh di pentas dunia.

Semoga lembaran baharu tahun 2021 akan memberi nikmat kesihatan dan kemakmuran untuk seluruh warga Selangor tanpa seorang pun yang tercicir atau tertinggal.

Kepada Allah kita panjatkan segala harapan.


Pengarang :