Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat tahun baharu 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada 21 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penjawat awam diseru kekal utuh, semangat depani cabaran Covid-19

SHAH ALAM, 21 JAN: Penjawat awam negeri ini diseru supaya kekal utuh dan bersemangat dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang kesan penularan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutuhan jiwa kakitangan awam menjadi kayu ukur penting untuk membantu dan membimbing rakyat menghadapi situasi sama.

“Walaupun berpengalaman sebelum ini, keadaan yang bakal dilalui sedikit sebanyak berbeza malah cabaran semakin meningkat kerana kesan ekonomi memanjang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika pentadbiran goyah hatta penjawat awam gagal menahan tekanan dan godaan, ini bermakna keseluruhan akan runtuh bersama,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2021 hari ini.

Amirudin turut mengucapkan tahniah atas komitmen penjawat awam yang mampu melalui cabaran sejak pandemik menular mulai awal tahun lalu.

“Sehingga ada suatu ketika kes Covid-19 di Selangor mencatat angka kosong namun kes yang kembali meningkat menyebabkan kerajaan sekali lagi mengumumkan perintah sama tahun ini,” katanya.

Kerajaan menguatkuasakan semula PKP selama dua minggu mulai 13 Januari berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 yang mencatatkan bilangan empat angka.


Pengarang :