Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
SELANGOR

MB: Pelbagai pilihan vaksin dipertimbang

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor akan mempertimbang pelbagai pilihan vaksin daripada beberapa pengeluar bagi memulakan rancangan vaksinasi kepada rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertimbangan itu dengan meneliti aspek kos, keberkesanan dan kesesuaian vaksin, lapor MalaysiaKini.

Menurutnya, perkara tersebut sedang dibincangkan EXCO kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud bersama anggota Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sebelum diputuskan.

“Contohnya, vaksin Pfizer memerlukan dua dos manakala yang lain satu jadi ada perincian yang saya perlu bincang lebih lanjut dengan menteri kesihatan agar penggunaan vaksin dipersetujui,” kata Dato’ Menteri Besar.

Beliau memaklumkan pelan vaksinasi ke atas sekitar dua juta atau satu per tiga populasi di Selangor dianggar menelan perbelanjaan RM200 juta.

Jelasnya, kos yang tidak mengambil kira dalam peruntukan Belanjawan Selangor 2021 lebih murah daripada vaksin dikeluarkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.

“Kita memutuskan untuk mesti melakukan sesuatu selepas Kerajaan Persekutuan hanya menyediakan vaksin kepada rakyat Malaysia.

“Sudah tentu akan ada orang mengatakan bahawa kita mengutamakan warga asing, tetapi saya berfikir dalam konteks ekonomi negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan membeli tiga hingga lima juta dos vaksin Covid-19 bagi mengawal penularan wabak.

Katanya langkah itu berupaya mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan dan memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk penduduk Selangor sekali gus menjamin kesihatan rakyat.


Pengarang :