BERITA UTAMASELANGOR

MB: Sambutan Ponggal berbeza ekoran pandemik Covid-19

SHAH ALAM, 14 JAN: Perayaan Ponggal tahun ini disambut dengan cara dan kaedah berbeza demi memastikan rakyat selamat daripada ancaman Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari berharap masyarakat terus cekal menghadapi cabaran pada masa hadapan.

“Tidak seperti sebelum ini, saya berpeluang menyantuni sambutan pesta ini melihat barisan periuk diisi nasi, susu, gula perang, kekacang dan minyak sapi sebagai persediaan menyambut pesta ini.

“Namun, sambutan Ponggal yang berbeza kali ini membawa maksud sedikit berlainan bagi memastikan kita terus cekal hadapi cabaran masa depan dan orang sekeliling selamat daripada ancaman Covid-19,” kata Amirudin menerusi perutusan Ponggal 2021.

Tambah Amirudin, Ponggal juga menandakan permulaan kalendar tahun baru membawa erti kesyukuran terhadap kurniaan yang diterima pada musim tuai serta mengingati jasa baik warga petani yang telah bekerja kuat.

“Seperti ungkapan waktu sambutan Ponggal, ‘Thai piranthal vazhi pirakkum’, bermaksud masa depan yang cerah akan tiba selepas bulan Thai, bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, saya percaya dengan kerjasama dan tanggungjawab bersama ia akan lebih positif.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan Ungalkum Ungal Kudumbatinnarkum Iniya Pongal Vazthukkal kepada seluruh masyarakat Tamil,” kata Amirudin.


Pengarang :