AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB seru guna sistem IG MBI, tolak amalan rasuah

SHAH ALAM, 11 JAN: Semua warga kerja Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan anak-anak syarikatnya diseru untuk menggunakan sistem Integriti dan Governans MBI (IG MBI) supaya tadbir urus dapat diperkukuh serta menolak amalan rasuah.

Dato’ Menteri Besar berkata peningkatan aduan dan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan melibatkan badan berkanun kebelakangan ini sedikit sebanyak menjejaskan imej perkhidmatan awam dan kerajaan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari sebanyak 22 kes rasuah melibatkan badan berkanun direkodkan SPRM tahun lalu berbanding 10 kes pada 2019 dan 17 kes 2018.

“Ia menunjukkan berlakunya peningkatan bilangan pesalah rasuah bagi kategori badan berkanun di seluruh negara, yang mana MBI jatuh di bawah kategori sama.

“Statistik jumlah tangkapan SPRM di seluruh Malaysia bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 840 (2020), 1,101 (2019) dan 894 pada 2018. Ini suatu yang sangat membimbangkan,” katanya pada majlis pelancaran IG MBI secara maya hari ini.

Sistem IG MBI antaranya mengandungi dokumen penting seperti polisi pemberi maklumat, polisi klonflik kepentingan, integrity pact, polisi penerimaan dan pemberian hadiah, kod etika dan tatalaku serta polisi anti rasuah.

Amirudin menjelaskan rasuah dan integriti perlu dilihat dalam konteks yang luas, tidak hanya tertumpu kepada amalan rasuah malah tugas diberikan juga perlu dilaksana mengikut peraturan sama ada dalam bentuk akta, garis panduan serta tatacara operasi piawai (SOP).

Malah beliau berkata soal integriti juga sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang akhirnya mengakibatkan kerugian dan krisis keyakinan terhadap agensi serta kerajaan.


Pengarang :