Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama petugas sempena lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang pada 19 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Taska sementara untuk anak petugas pusat kuarantin Maeps

SEPANG, 19 JAN: Kerajaan Selangor akan menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sementara untuk penjagaan anak petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dato’ Menteri Besar berkata kemudahan itu diberi susulan terdapat lebih 1,000 anggota pasukan keselamatan sedang bertugas dalam pusat tersebut di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

“Di sini ada petugas barisan hadapan termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM), polis, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan penjawat awam lain.

“Mereka memerlukan taska yang dekat dengan anak-anak kerana kesemuanya bekerja lebih masa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas sesi taklimat dan lawatan kawasan PKRC Maeps 2.0 di Serdang hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman; Pengarah PKRC Maeps 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pada Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliner (iPAF) bagi membantu petugas barisan hadapan dengan menyediakan taska sementara.

Sebanyak sembilan lokasi dipilih iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Turut dibuka di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK Selangor) dan Bangunan Darul Ehsan.


Pengarang :