Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek menyerahkan tablet kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Zamani Ahmad Mansor di Pejabat SUK pada 27 Januari 2021.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI sumbang 14 tablet untuk petugas PKRC Serdang

SHAH ALAM, 29 JAN: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyumbang 14 unit tablet bagi kegunaan petugas kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan peranti mudah alih itu membabitkan perbelanjaan berjumlah RM45,000.

“Semasa lawatan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ke MAEPS minggu lalu, terdapat permintaan daripada operator bertugas yang memaklumkan mereka kekurangan tablet untuk memantau pesakit di situ.

“Jadi, beliau (Amirudin) bersetuju untuk bantu sebelum kita selaras bantuan ini dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Zamani Ahmad Mansor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sesi penyerahan dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek kepada Zamani yang juga pengerusi bersama PKRC kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Azri berharap sumbangan tersebut melancarkan kerja petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang penularan Covid-19.


Pengarang :