Kain rentang yang dipasang MBSA dalam mendidik orang ramai kaedah memberi makan kepada haiwan secara bertanggungjawab. Foto Facebook Dunia Kucing
PBTSELANGOR

MBSA didik kaedah beri makan haiwan terbiar secara bertanggungjawab

SHAH ALAM, 20 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang kain rentang di beberapa lokasi bagi mendidik masyarakat supaya memberi makan kepada haiwan terbiar secara bertanggungjawab.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam berkata pemantauan pihaknya mendapati pemberian makanan oleh penduduk mengakibatkan bilangan haiwan berkeliaran bertambah.

“MBSA menerima sebanyak 1,840 aduan berkaitan anjing berkeliaran yang menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai sepanjang tahun lalu.

“Kaedah pendidikan seperti ini memberi pendedahan kepada masyarakat agar dapat bekerjasama dengan MBSA untuk menangani isu haiwan terbiar atau berkeliaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu menambah setiap individu perlu bertanggungjawab memelihara dan menjaga kebajikan haiwan yang diberi makan di kediaman masing-masing selaras Akta Kebajikan Haiwan, Seksyen 33.

“Aktiviti memberi makan kepada haiwan terbiar akan menyebabkan kawasan tersebut kotor dan menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 81,” katanya.

Kelmarin, tular di Facebook masyarakat mempersoal tindakan PBT terbabit memasang kain rentang bagi mengingatkan orang ramai tidak memberi makan kepada haiwan liar.

Lebih mengundang kemarahan apabila tertera gambar kucing sebagai antara ‘haiwan liar’ di kain rentang tersebut dipercayai digantung di lokasi awam.


Pengarang :