Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ: Premis di Puchong Permai tidak sesuai, peniaga langgar syarat

SHAH ALAM, 5 JAN: Penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai didapati melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung, kata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan pengarah jabatan korporatnya berkata aktiviti perniagaan juga tidak menepati konsep asal apabila penjaja dikesan membina struktur kekal, meninggalkan barangan niaga serta meletakkan kerusi dan meja pelanggan di kawasan berkenaan.

“Mereka membuka kedai makan seperti kapasiti restoran, kedai baju terpakai, premis cuci kereta dan kedai runcit sedangkan jenis ini hanya sesuai di lot kedai, bukan kawasan awam.

“Ada juga yang menjual barang basah seperti di pasar awam, pasar tani, pasar pagi atau pasar malam,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan.

Jelasnya lagi, syarat tidak membenarkan warga asing berniaga turut dilanggar apabila pemilik lesen dikesan menggajikan golongan itu.

“Perniagaan mereka telah menimbulkan kacau ganggu lalu lintas serta aspek keselamatan malah orang awam juga sering merungut dan mengadu kepada majlis.

“Jadi lokasi ini tak sesuai untuk tapak menjaja selain ia terlibat dengan kerja naik taraf infrastruktur. Oleh demikian MBSJ ambil inisiatif memindahkan peniaga sekitar Puchong Permai ini ke satu tempat lebih teratur dan selesa,” katanya.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan serta melanggar syarat selepas diberi masa berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).


Pengarang :