Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ: Pusat penjaja baharu strategik, banyak kemudahan asas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat penjaja baharu yang akan menempatkan peniaga Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berada dalam kawasan strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata lokasinya bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan tapak baharu itu juga bersebelahan pusat perniagaan Uptown Puchong yang pernah popular dalam kalangan penduduk.

“Bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan pusat penjaja berkenaan akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pusat perniagaan tersebut turut menyediakan taman permainan kanak-kanak dan parkir yang luas bagi memudahkan urusan pengunjung.

Jelas Azfarizal lagi, penjaja akan diberi tapak lebih besar berkeluasan 10×10 kaki berbanding ukuran biasa 8×8 kaki selain kemudahan kiosk seragam bersaiz 6×3 kaki.

Tambahnya, pemindahan berkenaan sebahagian daripada inisiatif MBSJ bagi menempatkan semula penjaja sekitar kawasan Puchong Permai secara sistematik.

“Terdapat beberapa lagi penjaja yang dikenal pasti di kawasan berhampiran yang akan dipindahkan ke pusat penjaja tersebut bagi fasa seterusnya,” kata beliau.

Penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka merayu tempoh sehingga November 2020.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).


Pengarang :