Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Medan pendidikan digital

Pendidikan terjejas teruk akibat penularan Covid-19 hingga timbul kebimbangan mengenai wujudnya “generasi yang hilang”.

Sekolah di seluruh negara hanya sempat dibuka pada Januari dan Februari sebelum ditutup antara 23 Mac hingga 22 Mei susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi itu mewujudkan kelompongan dalam bidang pendidikan yang dikhuatiri menjejaskan perkembangan prestasi murid.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor memperkenal inisiatif Selangor Tutor bagi membantu anak-anak meneruskan proses pembelajaran percuma melalui kaedah dalam talian.

Program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, guru dan pelajar.

Dibuka kepada sekolah milik kerajaan dan swasta, hampir 100,000 murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima menjawab tiga juta soalan sejak program itu dilaksana antara April sehingga September.

Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi menutup sekolah pada 9 November sehingga akhir tahun. Malah, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan
Tiga (PT3) pada tahun ini dibatal.

Tarikh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula ditunda ke tahun depan.

Pelitup Muka

Susulan arahan kerajaan persekutuan pada 1 Ogos yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam pula mendorong Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan kepada murid.

Sebanyak 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula diagih kepada 995,000 pelajar di negeri ini dengan keutamaan kepada keluarga pelajar berpendapatan rendah.

Kelihatan seorang pelajar keluar dari pintu pagar sekolah setelah tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa pada 7 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Selain sekolah, pendaftaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta dan kolej komuniti juga ditangguh sekali gus pembelajaran bersemuka tidak dapat dibuat.

Pada 13 April, hampir 100,000 mahasiswa terkandas hampir sebulan berikutan arahan kerajaan persekutuan yang memutuskan penuntut pengajian tinggi harus kekal di kampus sepanjang PKP.

Sekolah pula hanya dibuka berperingkat bermula 24 Jun tetapi ditutup semula apabila PKPB diisytihar. Justeru guru tiada pilihan selain menguasai kelas maya dengan menggunakan ‘Google Classroom’ untuk proses pembelajaran.

Kuliah peringkat pengajian tinggi pula menggunakan platform Google Meet, Zoom, Ufuture dan pelbagai lagi.

Namun, kelemahan capaian internet menjejaskan proses pembelajaran di luar bandar. Ia dihangatkan lagi dengan pendedahan siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mencari talian internet pada 12 Jun.

Orang ramai mencuba perkhidmatan Wi-Fi Smart Selangor. Foto SELANGORKINI

Menyedari hal itu, Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM17.5 juta bagi menjayakan Inisiatif WiFi dan Data Internet Selangor. Golongan mahasiswa yang layak menerima kad sim untuk menikmati kelajuan internet secara percuma.

Dato’ Menteri Besar juga menekankan Selangor perlu menyegerakan transisi sektor pendidikan ke arah pendigitalan bagi memastikan tiada pelajar tercicir dari arus itu.

Pada 9 November, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan akan melanjutkan pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sehingga Januari 2021 khusus untuk pelajar SPM susulan pindaan tarikh peperiksaan.

Kerajaan Negeri juga melancarkan Program Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan pada 4 Oktober bagi membantu pelajar yang tiba di kampus untuk pendaftaran semester tetapi kemasukan mereka dibatalkan pada saat akhir susulan peningkatan kes Covid-19.

Kemudahan lengkap disediakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ) memberi keselesaan kepada pelajar. Foto Facebook Unisel

Penuntut Universiti Selangor dan Kolej Islam Antarabangsa Selangor pula menikmati bantuan Bayaran Yuran Asas (Bayu).

Pelajar turut diberi bantuan pengangkutan untuk pulang ke kampung, bantuan makanan, pelitup muka dan cecair pencuci tangan.

Selangor juga mewujudkan Program Bakul Makanan melibatkan peruntukan RM50,000 bagi membantu pelajar di Mesir.


Pengarang :