Sekatan jalan raya dilakukan oleh anggota polis dan tentera di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021, hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MKN: Isytihar darurat perlu, akta kawalan penyakit berjangkit tidak lagi memadai

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Pengisytiharan darurat dalam mengawal penularan Covid-19 di negara ini adalah perlu memandangkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang digunakan selama ini tidak lagi memadai, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut badan itu, perisytiharan tersebut memberikan kuasa yang lebih besar kepada pihak berkuasa dalam mendapatkan kerjasama pihak swasta memandangkan jangkitan virus tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu.

Tidak dapat dinafikan, walaupun Akta 342 memperuntukkan kuasa tertentu untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak swasta, kuasa yang diperuntukkan itu tidak mencukupi, demikian menurut infografik soalan lazim MKN yang dikeluarkan hari ini.

MKN berkata ini kerana kerajaan tidak boleh berlengah dalam membuat perkiraan dengan pihak swasta untuk menggunakan premis perubatan swasta serta sumber utiliti dan aset.

“Selain itu, penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan tanpa urusan birokrasi dan peraturan yang menyukarkan,” demikian menurut infografik tersebut.

Perisytiharan itu juga diperlukan bagi melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dengan lebih cepat.

Statistik terkini menunjukkan jumlah jangkitan harian positif Covid-19 dalam negara melepasi angka 4,000, setelah sebanyak 4,029 kes baharu dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 155,095 kes.

Menurut MKN, sepanjang penguatkuasaan perintah darurat itu, kerajaan berpeluang menumpukan kepada pemulihan ekonomi selain menjamin dan mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Maklumat lanjut mengenai perisytiharan darurat itu boleh dibaca melalui infografik soalan lazim yang dimuat naik MKN melalui platform media sosial rasmi badan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :