Petugas Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang menjalankan pemeriksaan di sebuah premis dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

MPK arah kilang tak patuh SOP tutup seminggu

SHAH ALAM, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengarahkan sebuah kilang ditutup seminggu bermula semalam berikutan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) selain berpotensi menyebabkan penularan Covid-19.

Majlis berkata tindakan diambil selepas melihat premis tersebut gagal beroperasi mengikut arahan Majlis Keselamatan Negera dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pengilang tidak memberi kerjasama dalam menangani pandemik ini. Antara kesalahan adalah tiada saringan suhu badan dan penggunaan kod QR untuk pelawat memasuki premis.

“Pihak terlibat juga gagal membuktikan amalan penjarakan fizikal satu meter sekitar tempat kerja selain penggunaan cecair pembasmi kuman yang sangat minima,” katanya menerusi Facebook.

Menurut majlis lagi, premis terbabit juga gagal membuktikan deklarasi kesihatan pekerja dan pelawat di pintu masuk utama.

“Persekitan juga tidak bersih. Pengasingan pekerja positif Covid-19 dengan pekerja lain juga kurang memuaskan dengan penilaian risiko kadar pendedahan penyakit sebanyak 5.3 peratus,” katanya.

Semalam, MPK menerusi Jabatan Kesihatan melakukan operasi pantauan pematuhan SOP dan penilaian risiko ke beberapa premis dibenar beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari ini.


Pengarang :