PBTSELANGOR

MPKj: Peniaga diingatkan patuh waktu operasi niaga

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi amaran kepada pengusaha premis perniagaan supaya tidak beroperasi melebihi had masa ditetapkan selaras penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai perhubungan awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata pemantauan waktu operasi perniagaan akan dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penjaja dari semasa ke semasa.

“Setiap premis disyaratkan mematuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan pihak berkuasa. Jika gagal berbuat demikian, pemegang lesen boleh dikenakan notis pematuhan atau amaran.

“Kita juga menitik beratkan penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di setiap premis bagi memudahkan pengesanan kontak rapat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah operasi rondaan dan pemeriksaan di kawasan tumpuan awam turut dipergiat supaya tiada individu yang mengingkari arahan sepanjang tempoh berkenaan.

Selangor dan lima lagi negeri termasuk Pulau Pinang, Johor, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikenakan perintah itu selama 14 hari bermula 13 Januari susulan peningkatan kes Covid-19.

Restoran, kedai/gerai makan, kendera saji, penjaja tepi jalan, peniaga beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.


Pengarang :