Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika pelancaran Selangor Kerjaya secara maya pada 26 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri tawar 10,000 peluang kerja pascawabak Covid-19

SHAH ALAM, 26 JAN: Program Selangor Kerjaya bakal menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata sebagai permulaan, sebanyak 2,000 peluang ditawarkan kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan usaha tersebut turut dikhususkan kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun ini susulan penularan Covid-19.

“Penularan wabak benar-benar menguji kita, justeru Kerajaan Negeri bertindak proaktif dengan melaksanakan pengumpulan data bersepadu berkaitan permintaan dan tawaran kerja,” katanya berucap merasmikan program tersebut di Facebook hari ini.

“Analisa ini membantu pelaksanaan strategi komprehensif dan holistik untuk menyelesaikan isu tenaga kerja yang tidak memenuhi keperluan pasaran buruh di Selangor.”

Kerajaan Negeri melancarkan laman web www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran jangka masa pendek dan panjang.

Program tersebut menawarkan pelbagai maklumat bagi membolehkan pencari kerja dan majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

 


Pengarang :