Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara (gambar hiasan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah didagang berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga dijangka berada antara RM3,300 dan RM3,400 satu tan.

“Bagaimanapun, tahun 2020 menyaksikan prestasi cemerlang oleh industri minyak sawit walaupun wujud kemelut disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Namun, katanya peniaga juga perlu berhati-hati berikutan harga komoditi lazimnya akan turun naik.

Mengulas mengenai impak daripada tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang menahan produk Sime Darby Plantation Bhd (SDP), Teh berkata peniaga dijangka turut berhati-hati, yang akan menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit tempatan pada minggu-minggu akan datang, terutamanya dari AS, Kanada dan Kesatuan Eropah.

“Permintaan daripada mereka akan berkurangan. Selain itu, peserta antarabangsa tidak akan membuat spekulasi dalam pasaran kecuali masalah itu diselesaikan,” katanya.

AS menyekat minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit yang dihasilkan oleh SDP dan anak syarikatnya, usaha sama dan entiti gabungannya di Malaysia berdasarkan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.

Bagi minggu baru berakhir, harga MSM kebanyakannya tinggi, disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh serta pengeluaran minyak sawit dan simpanan stok yang rendah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2021 naik RM37 kepada RM3,891 satu tan, Februari 2021 meningkat RM49 kepada RM3,764 satu tan, Mac 2021 melonjak RM31 kepada RM3,600 satu tan dan April 2021 menambah RM26 kepada RM3,473 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 138,285 lot daripada 212,577 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 196,440 kontrak daripada 210,643 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM10 kepada RM3,870 satu tan.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti Tahun Baharu dan dagangan akan disambung semula pada 4 Januari 2021.

– BERNAMA


Pengarang :