Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, didorong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah pada minggu akan datang.

Menurut seorang peniaga, pedagang menjangkakan pengeluaran yang lebih rendah akibat musim monsun yang boleh menyebabkan simpanan stok berkurangan di negara ini.

“Malahan, mereka turut menantikan laporan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan dikeluarkan pada Isnin,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini laporan media memetik satu kajian yang memaklumkan simpanan stok minyak sawit Malaysia pada Disember 2020 merosot kepada 1.18 juta tan daripada November 2020, berkurangan 24 peratus, berkemungkinan merupakan paras terendah dalam tempoh 13 tahun.

Sementara itu, data oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menunjukkan bahawa pengeluaran MSM pada Disember 2020 turun 12.23 peratus kepada 1.3 juta tan daripada November 2020.

Bagi minggu baru berakhir, kebanyakan harga MSM adalah tinggi berikutan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh serta output dan stok minyak sawit yang lebih rendah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2020 meningkat RM106 kepada RM3,997 satu tan, Februari 2021 naik RM210 kepada RM3,974 satu tan, Mac 2021 menokok RM230 kepada RM3,830 satu tan dan April 2021 meningkat RM235 kepada RM3,709 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 370,671 lot daripada 138,285 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka menokok kepada 206,172 kontrak daripada 196,440 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan naik RM160 kepada RM4,030 satu tan.

– BERNAMA


Pengarang :