AGENDANASIONAL

Nicol dahului saingan anugerah atlet terunggul sepanjang zaman

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David merupakan wakil tunggal dari rantau Asia dalam buruan Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia (The World Games).

Pemegang takhta pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu akan bersaing dalam undian dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu (1981 hingga 2017).

Kesemua 24 atlet tersebut dicalonkan oleh persekutuan sukan antarabangsa masing-masing.

Orang awam boleh mengundi juara dunia sebanyak lapan kali dari Malaysia itu di https://www.theworldgames.org/awards/The-World-Games-Greatest-Athlete-of-All-Time-81 .

Pada 20 Januari ini, 10 calon dengan undi terbanyak akan disenarai pendekkan manakala pemenang gelaran tersebut akan diumumkan pada 1 Februari ini.

“Anda boleh memberikan undi anda kepada calon di laman web The World Games sekali dalam masa 24 jam. Undian mesti diberikan setiap kali kepada dua calon; dua undi untuk calon pilihan pertama dan satu undi untuk calon pilihan kedua. Sekiranya anda memberi undi kepada satu calon sahaja maka undi anda tidak akan didaftarkan,” menurut The World Games.

Setakat jam 9 malam tadi, Nicol mendahului saingan berbanding atlet daripada sukan muay thai, gimnastik, sukan kasut roda, powerlifting, memanah, bola baling dan sumo.

– BERNAMA


Pengarang :