Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Nonlakonan

Oleh Md Fariq Khir

EKESPERIMENTAL. Avant-garde.

Itu kata-kata orang tentang pementasan teater yang aku tonton tempoh hari.

94 minit. Standard pementasan teater panjang. Jadi apa yang eksperimental. Apa yang avant-gardenya.

Kata seorang pengkritik: Teater ini membangkitkan kepayahan dan kerentanan kehidupan seorang pengkarya. Walaupun ia teater tapi ia terpakai kepada pengkarya-pengkarya bidang lain. Sebuah pementasan memukau, memaku mata dan fikiran penonton dari detik mula hingga detik akhir.

Ya, betul. Kecuali memukau. Memaku mata dan fikiran itu betul. Memang aku dan audiens lain terpaku mata dan fikiran (tetapi ada juga beberapa yang keluar awal) hingga detik akhir dari detik mula.

Kita selalunya menilai sesuatu dengan apa yang dipersembahkan. Tetapi jarang memikirkan hal-hal sebelum dan belakang tabir yang sebenarnya memberikan impak dan kesan besar kepada apa-apa yang terlihat.

Apa yang kami semua nampak hari itu: lima orang pelakon. Berbaju biasa. Tiada audio. Pentas dilimpahkan dengan lampu natural dan polos tanpa apa-apa prop. Kami menunggu sesuatu berlaku namun tiada. Atau sebenarnya mereka yang menunggu kami untuk melakukan sesuatu dan menjadikan teater itu interaktif? Tapi kalau keluar awal dari pementasan boleh dianggap berlakunya sesuatu — berdiri, berjalan di antara orang lain, buka pintu dan keluar — mereka tetap tidak bertindak balas. Sebentar, mungkin mereka audiens dan kami aktor? Tulis pengkritik lain: Jangan salah anggap. Ini bukan teater eksperimental atau nonkonvensional seperti dicanang-canang audiens. Sebaliknya ini teater yang berakar dari tradisi lampau. Teater ini jika dibaca skripnya tiada perkara luar norma. Ia teater realisme dengan bauran romantisme dan tragedi — sesuatu yang Aristotelian. Shakespearean dan Elizabethan juga berpadu dengan sedikit cair. Tiada pembaharuan falsafah.

Aku fikir mereka ada menjual skripnya. Tetapi setelah aku tanya, mereka kata skrip tidak disiar demi menjaga keselamatan skrip tersebut. Kemungkinan orang lain memplagiat adalah tinggi. Maka skrip hanya diedar kepada yang terlibat dan orang-orang yang mereka percaya. Pengkritik, misalnya.

Dari period promosi lagi, mereka beritahu jika tidak berpuas hati dengan teater kami, kami akan bayar balik. Tetapi cuma sembilan orang berbuat demikian. Sedangkan teater yang berlangsung lima hari itu sentiasa padat dengan jualan tiket yang laku keras.

Aku antara yang meminta bayaran semula. Aku bertanya kawan-kawanku kenapa mereka tidak meminta dan mereka kata kau tidak faham teater. Mungkin. Ini teater luar pertama kutonton. Teater ditonton waktu sekolah atau universiti aku tidak kira. Kawan-kawanku budak-budak teater juga tetapi bukan dari produksi tersebut. Berbanding mereka, aku cuma penonton biasa.

Wang dimasukkan ke akaun bank setelah tiket yang aku hantar diterima pihak produksi.

Mereka membayar sekali kos pos.

Menurut pengarahnya, mereka solat subuh berjemaah sebelum berjoging lima kilometer sekitar rumah sewa yang jadi tempat latihan untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal supaya pada waktu pementasan, dapat memberikan sepenuh tenaga dan tidak kelihatan lesu dan lemau.

Mereka memang kelihatan segar dan tidak penat. Cuma beberapa kali mengelap peluh dan meregang-regangkan otot. Malah, para audiens pun sama kerana gudang teater ini agak panas. Bukan platform sebaliknya lantai jadi pentas dan seperti kami, mereka duduk bersila. Tiada dialog, tiada pergerakan, tiada aktor berlegar-legar. Tiada aksi-reaksi. Kami menonton mereka dengan tekun.

Juanna Bakhtiar, penulis skrip ini membawa isu politik negara melalui unsur pornografi dan erotisisme manusia yang kebiasaannya menindas kaum perempuan. Setiap pelakon diberikan objek-objek berlainan. Siddiq (lakonan Jamal Jusoh) – kamera, Maya (Sabariah Ali) – buah limau, Amirul (Rahman Taufiq) – buah tembikai, Kris (Ros Abdullah) – fail dan Malik (Aiman Zakaria) – sepucuk pistol. Melalui objek-objek ini, Juanna menuliskan pertautan antara kelima-limanya dan setiap objek mempunyai kisah gelap dan sadis.

Setelah pementasan, sesi dialog dijalankan. Kami tak sedar pementasan habis tapi tiba- tiba pemegang watak utama, Sabariah Ali ketawa dan kata: sebenarnya show dah habis 15 minit tadi. Korang tak perasan ke?

Kemudian seseorang menepuk tangan dan disambut riuh orang lain.

Pada sesi ini, aku tidak bertanya dan memberi maklum balas. Ia rancak. Hampir menyamai durasi pementasannya sendiri. Aku akhirnya ingin mengatakan sesuatu tetapi sesi tiba- tiba tamat dan sesi bergambar pula berlaku. Satu soalan menarik perhatianku: waktu latihan macam mana. Korang buat macam ni tak. Pengarah itu kata tak. Kami berlatih bagai nak gila. Teruk aku kerjakan diorang.

Sebagai pengarah, aku lebih suka apa yang ada dalam skrip disebut pelakon sepatah- sepatah dan aku denda mereka yang tersalah, tertinggal atau sengaja mengubah dialog, kononnya mereka kreatif (dia ketawa di sini). Aku bukan menolak perbuatan mereka tetapi ini pementasan pertama skrip jadi aku ingin menghormati penulis skripnya. Kalau ia kali kedua atau kali kemudian aku tak kisah melakukan improvisasi kata-kata. Kita uji kekuatan sebuah skrip ke tahap maksimum pada pementasan pertamanya.

Dari situ bukan saja kami, tetapi audiens juga boleh nampak kelebihan dan kekurangan skrip. Waktu latihan sama saja cuma kami membiasakan diri dengan ruang dan keadaan pentas yang agak berbeza dengan rumah sewa yang kami jadikan tempat latihan. Ada susunan prop dan blocking yang telah diubah setelah kami mula masuk ke sini.

Melalui WhatsApp, saya bertanya Kris dan Sabariah apa jadi kepada buah-buahan yang diberikan kepada mereka. Mereka kata produksi telah memakannya beberapa jam sebelum pementasan pertama.

Aku tidak bergambar dengan sesiapa kecuali dengan kawan-kawanku untuk kenang-kenangan. Kemudian kawan-kawanku bergambar dan berbual pula dengan audiens lain.

Rupa-rupanya ramai antara audiens mengenali satu sama lain. Dari percakapan mereka, aku terdengar tentang projek terbaru produksi masing-masing.

Kepada salah seorang kawanku aku tanya siapa kawan kau tadi yang pakai baju belang- belang. Dia kata bukan kawan aku dan tersengih. Habis tu peluk-peluk gelak-gelak berswafoto tadi kenapa. Kitorang memang macam tu dia kata. Berapa orang kawan kau dalam scene ni. Dua orang je kot kata dia.

Aku cuma kata ohh dan diam sepanjang perjalanan.

Di rumah aku ingin memuat naik gambar pementasan dan meletakkan tanda pagar tetapi aku tidak tahu tanda pagarnya. Aku buka Instagram produksi dan melihat gambar mereka yang ditanda orang lain. Banyak juga muat naik dengan kapsyen rindu, lama tak jumpa kawan sekolah ni, #sissupport tetapi tidak kutemui tanda pagar berkaitan pementasan. Jadi aku reka tanda pagar sendiri dengan tajuk teaternya, #SesuatuYangGilaBabi.

Melalui hantaran Facebook, mereka mengatakan teater ini akan berjelajah ke seluruh Malaysia. Jika ada rezeki akan ke pentas antarabangsa. Saya tidak sabar untuk menonton kembali teater hebat ini!

Sembilan hari selepas itu kawanku kedepankan dokumen PDF skrip teater tersebut ke dalam WhatsApp. Aku cetaknya di Print Expert, Seksyen 2 dan setelah aku keluar dari kedai kertas-kertas itu terbang tersangkut pada paruh lima ekor burung kemudian berlanggaran.

 


Pengarang :