Kawasan sekitar Putrajaya yang menjadi tumpuan ramai kelihatan lengang ketika tinjauan pada 1 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Orang ramai manfaatkan cuti tahun baharu, SOP dipatuhi

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Orang ramai di seluruh negara memanfaatkan cuti umum sempena tahun baharu hari ini dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti beriadah, keluar makan bersama keluarga, bersiar-siar di tempat menarik dan membeli-belah.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata orang awam tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengimbas kod aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke mana-mana premis ketika melakukan aktiviti masing-masing.

Di Putrajaya, orang ramai dilihat mengunjungi lokasi menarik seperti Dataran Putrajaya, Dataran Putra, Istana Kehakiman serta Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Wawasan dan Jambatan Seri Gemilang yang merupakan mercu tanda pusat pentadbiran Persekutuan.

Di Alor Setar pula, seawal 7 pagi, Taman Jubli Perak atau lebih dikenali dengan nama Taman Rimba dipenuhi orang ramai yang melakukan aktiviti sukan seperti berjoging, berbasikal dan zumba.

Selain itu, ada juga pengunjung yang dilihat beratur di hadapan Menara Alor Setar untuk menikmati panorama 360 darjah sekitar bandar raya ini menerusi kotak kaca Star View 1 dan Star View 2 yang terdapat di bangunan ikonik itu.

Orang ramai di Ipoh pula memilih untuk bersenam di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau dikenali sebagai Padang Polo, Ipoh seawal 7 pagi namun SOP penjarakan fizikal tetap dipatuhi.

Di Melaka, aktiviti pelancongan di negeri ini kembali rancak apabila tempat-tempat tumpuan seperti Zoo Melaka, Taman Buaya di Ayer Keroh dan bangunan The Stadthuys di Banda Hilir kembali menerima kunjungan pelancong.

Sementara di Seremban orang ramai dilihat keluar untuk membeli pelbagai barangan keperluan memandangkan sektor perniagaan kebanyakannya beroperasi seperti hari-hari biasa.

Ramai ibu bapa di Kuantan pula dilihat menghabiskan cuti umum dengan membawa anak masing-masing ke Mini Zoo Taman Teruntum manakala pihak pengurusan zoo meletakkan poster kawalan kendiri di setiap sudut bagi mengingatkan pengunjung tentang langkah pencegahan Covid-19.

Di Kota Bharu kawasan tumpuan seperti Pasar Siti Khadijah, pusat membeli-belah AEON dan KB Mall dipenuhi orang ramai yang meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti tahun baharu ini.

Di Kota Kinabalu pula pantai Tanjung Aru menjadi tumpuan orang ramai untuk menghabiskan cuti umum hari ini bersama keluarga.

Di Johor Bahru pula, orang ramai memanfaatkan cuti mereka dengan bersiar-siar di kawasan tumpuan pelancong termasuk Medini Mall yang terletak berdekatan dengan Legoland.

Orang ramai di Kuala Terengganu tidak ketinggalan memanfaatkan cuti mereka dengan berkunjung ke Pasar Payang selain merakamkan gambar berlatarbelakangkan ikon bandar raya iaitu Jambatan Angkat atau Drawbridge yang terletak tidak jauh dari pasar itu.

– BERNAMA


Pengarang :