AGENSISELANGOR

Paip pecah, meter rosak punca air tidak terhasil

SHAH ALAM, 17 JAN: Paip pecah, meter rosak dan sambungan paip haram adalah antara punca berlakunya air tidak terhasil (NRW).

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kehilangan air bersih akibat perkara seperti itu menyebabkan kerugian kerana air hilang sia-sia tanpa digunakan.

“Namun begitu, undian di laman sosial Air Selangor mendapati 70 peratus pengguna tidak mengetahui apa itu NRW.

“Oleh itu sekiranya berlaku kejadian paip pecah, meter tidak berfungsi mahupun terdapat sambungan haram, laporkan segera kepada kami bagi mencegah kejadian ini,” kata agensi berkenaan.

Ogos tahun lalu, Air Selangor memaklumkan berjaya mengurangkan kadar purata tahunan NRW kepada 29.6 peratus pada 2019 berbanding 31.6 peratus dicatatkan tahun sebelumnya.

Dalam tempoh tiga tahun sejak 2017, kadar NRW dikurangkan secara progresif dan pihaknya yakin penurunan secara konsisten dapat dicapai setiap tahun.

Air Selangor turut membelanjakan RM201.9 juta pada 2019 menerusi Program Pengurangan NRW.


Pengarang :