Kerja baik pulih paip putus akibat tanah runtuh di Damansara Utama pada 29 Disember 2020. Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Paip putus: Bekalan air 43 kawasan di Petaling pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 1 JAN: Semua 43 kawasan di wilayah Petaling yang mengalami gangguan bekalan air akibat insiden paip putus di Damansara Utama pada Selasa, pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kawasan itu menerima bekalan sepenuhnya jam 5.15 petang tadi, sementara wilayah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi tadi.

“Pengguna yang menerima bekalan air dinasihatkan membiarkan air dari pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberi sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata agensi dalam kenyataan hari ini.

Pada 29 Disember, sebanyak 43 kawasan di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan insiden paip putus akibat tanah runtuh di Damansara Utama.

Air Selangor juga memohon kerjasama orang ramai melaporkan kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan pembaikan dilakukan segera.


Pengarang :