Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

PAKATAN sedia kerjasama dengan pihak tolak rasuah

SHAH ALAM, 3 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempertahankan prinsip tatakelola lebih baik serta menolak rasuah.

Ketua pembangkang berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak akan menjalin kesepakatan dengan pihak yang masih bersikap zalim, angkuh serta mengamalkan rasuah.

“Sama ada kerajaan atau pembangkang, yang tinggalkan amalan rasuah jijik, memiskinkan rakyat. Kita akan bekerjasama untuk dasar ekonomi lebih baik bagi jaga kebajikan negara dan rakyat.

“Perjuangan mesti istiqomah, mesti hasratnya untuk bawa perubahan tapi jika tujuan hanya untuk ambil alih kuasa politik, mengadu domba, ini tidak akan memberi makna,” katanya ketika berucap pada Mjalis Sepetang 2021 Bersama Presiden Keadilan hari ini.

Anwar berkata kepimpinan harus kembali kepada tatakelola serta pemerintahan yang baik disamping menolak amalan rasuah yang diamalkan sejak dahulu.

“Ketika penularan Covid-19. Rakyat miskin, pengangguran banyak. Melayu sengsara, Cina berselerak, India tersisih dan penduduk pedalaman seolah-olah hilang pengharapan.

“Tapi masih ada yang pentingkan kontrak dan kekayaan sendiri. Adakah wajar kita pertahankan? Sebab tu kita kena yakin untuk selamatkan negara dari kesengsaraan dan derita,” katanya.


Pengarang :