Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN tolak alasan darurat, gantung parlimen rencat demokrasi

SHAH ALAM, 12 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak alasan pengisytiharaan darurat dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekang penularan Covid-19 dan menggantung sidang parlimen yang merencatkan sistem demokrasi negara.

Majlis Presiden berkata undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi untuk mengumpul segala sumber serta kekuatan untuk mengatasi wabak.

“Sebagai contoh, darurat tidak diperlukan hanya untuk mendapat kerjasama hospital swasta kerana sektor tersebut memang bersedia membantu kerajaan dalam kes Covid-19.

“Malah tindakan menggantung parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi dan menafikan suara rakyat,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis Presiden turut meluah kerisauan darurat akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur selain tidak membantu mengatasi isu pengangguran dan kehilangan pendapatan rakyat.

Berkenaan isu pilihan raya pula, PAKATAN berpendapat Pilihanraya Negeri Sarawak tidak perlu dilakukan selewat-lewatnya sehingga penghujung Ogos ini manakala Pilihan Raya Umum ke-15 hanya perlu diadakan menjelang 2023.

“Muhyiddin mengusulkan darurat ketika kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen termasuk Machang (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz).

“Oleh itu, alasan dikemukakan tidak dapat diterima kerana darurat memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa sahaja sewenang-wenangnya,” katanya.

 


Pengarang :