Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN tubuh pasukan khas yakinkan rakyat terima vaksin

SHAH ALAM, 29 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menubuhkan Pasukan Petugas Imunisasi bagi membantu kerajaan meyakinkan segelintir masyarakat antivaksin.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi PAKATAN, Dr Dzulkefly Ahmad berkata semangat kerjasama antara parti perlu agar program imunisasi Covid-19 dapat dijayakan.

“Demi kepentingan rakyat dan masa depan negara, PAKATAN ingin melangkau jurang politik untuk bekerjasama dengan kerajaan. Malah, kami berharap langkah ini dapat menyakinkan rakyat dalam penerimaan imunisasi.

“Kami faham kesukaran kerajaan kendali program ini secara menyeluruh dalam masa yang singkat. Kejayaan atau kegagalan program itu akan menentukan kesihatan rakyat, keupayaan kapasiti kesihatan dan pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Dzulkefly menyeru Kerajaan Persekutuan agar melibatkan wakil PAKATAN dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

“Penglibatan ini akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa Pelan Imunisasi Kebangsaan melangkau perbezaan politik dan mendapat sokongan seluruh negara,” jelasnya.

Anggota Pasukan Petugas Imunisasi PAKATAN terdiri daripada bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye serta empat ahli parlimen iaitu Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching) Dr Mohd Hatta Ramli (Bandar Kuching) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Selain itu, turut terlibat tiga EXCO Kesihatan negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor), Dr Norlela Ariffin (Pulau Pinang) dan S Veerapan (Negeri Sembilan).


Pengarang :