Pengunjung mendapatkan barangan basah dan kering dengan harga lebih rendah berbanding pasaran memandangkan bekalan diambil terus daripada petani di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pakej Kita Selangor bela kebajikan rakyat, rangsang ekonomi

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan Selangor diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) muncul negeri terawal menyediakan inisiatif membela kebajikan rakyat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua penerangan PAKATAN Selangor berkata insentif melalui Pakej Kita Selangor turut memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan dan merangsang ekonomi peniaga.

Azli Yusof menjelaskan pelan komprehensif bernilai RM73.9 juta itu melegakan banyak pihak yang terjejas dengan PKP dan musibah lain termasuk banjir.

“Tinjauan segera di lapangan menunjukkan rakyat sangat mengalu-alukan pakej tersebut yang bersasar dan berharap ia dilaksanakan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga yakin bantuan melalui pakej tersebut dibuat secara saksama, sesuai amalan kerajaan PAKATAN yang adil, telus dan amanah.

Pakej Kita Selangor meliputi beberapa inisiatif antaranya saringan bersasar secara percuma, bantuan makanan kepada petugas hadapan, pengangkutan pesakit Covid-19 ke pusat rawatan dan peruntukan untuk Dewan Undangan Negeri serta Parlimen.

Kerajaan Negeri juga memberi pengecualian dan penangguhan bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), melupus pinjaman pelajaran dan bantuan makanan kepada golongan berpendapatan rendah.

Insentif untuk warga tani, kemudahan taska kepada anak petugas hadapan dan portal pembelajaran pecuma untuk pelajar yang menduduki peperiksaan juga disediakan.

 

 


Pengarang :