AGENDANASIONAL

Pandangan industri penting tambah baik, perkemas SOP halal – menteri

PUTRAJAYA, 25 JAN: Kerajaan akan mendapatkan ulasan dan pandangan pihak berkepentingan termasuk pemain industri dan kedutaan asing untuk menambah baik prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata kerajaan mahu mendengar dan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan sebelum menggariskan tatacara operasi piawai (SOP) yang bersesuaian untuk pengiktirafan pensijilan halal dari luar negara.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia, dengan memperkemas prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan agensi di bawah jabatannya secara dalam talian.

Beliau difahamkan prosedur itu akan dimasukkan ke portal www.halal.gov.my untuk dibuka bagi ulasan awam pihak berkepentingan.

Dalam usaha mendalami isu berkaitan dengan pensijilan halal, Zulkifli berkata pihaknya juga sudah turun padang melawat beberapa kilang dan tempat penyimpanan daging di negara ini.

“Maklum balas yang kita terima sangat positif dan mereka menunjukkan komitmen dalam memastikan bekalan yang diperoleh adalah daripada sumber halal,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata Majlis Halal Malaysia (MHM) akan diaktifkan semula setelah beberapa perbincangan diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan isu kartel daging import haram dan pertemuan bersama pengimport dan pengedar daging serta produk daging pada bulan ini.

Apabila diaktifkan semula, majlis itu akan turut dianggotai kementerian lain, badan profesional dan pakar dalam bidang halal, yang akan berfungsi untuk memantau dasar dan arahan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perihal halal, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :