Pelanggan mendapatkan aneka barangan pada program jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di Pangsapuri Rimba Jaya, Shah Alam pada 30 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pascanilai setiap minggu, PKPS tambah baik program pasar bergerak

SHAH ALAM, 31 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat pascanilai menyeluruh pada setiap minggu bagi menambah baik program Lori Selangor Agro Market.

Pengurus kanan tertinggi pembangunan institusi pemasarannya berkata perbincangan bersama rakan strategik termasuk mengenal pasti lokasi penganjuran berikutnya.

“Kalau boleh kita mahu program ini diperluas ke seluruh Selangor dan beroperasi setiap hari supaya tiada isu terputus bekalan makanan, namun pemilihan lokasi penting mengikut keperluan.

“Apatah lagi PKPS berhasrat mewujudkan program keusahawanan kepada individu hilang kerja yang memiliki kenderaan bersesuaian bagi meneruskan perkhidmatan ini,” kata Siti Noor Lianna Misli pada program jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di sini semalam.

Beliau berkata jualan berkonsep kendera saji itu menerima sambutan menggalakkan dengan penduduk setempat beratur seawal jam 7.30 pagi bagi mendapatkan barangan makanan segar.

“Kita lihat keperluan dan permintaan komuniti sangat tinggi, jadi inisiatif ini penting buat mereka. Saya terharu dengan kerjasama wakil rakyat setempat yang membantu menjayakannya,” kata Noor Lianna.

Pasar bergerak PKPS berada di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari, Pandan Indah, Ampang pada 24 Januari dan akan diteruskan di Seksyen 16 serta Seksyen 24, Shah Alam pada minggu hadapan bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

 


Pengarang :