Peniaga menyiapkan tempahan makanan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PBT disaran didik usahawan wanita ke arah digital

SHAH ALAM, 30 JAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran menggerakkan peniaga terutama golongan wanita ke arah pendigitalan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata masih ramai golongan itu belum bersedia mengadaptasi arus teknologi dalam perniagaan dan mereka perlu dilatih.

“Cabaran kita adalah untuk ketuk minda wanita ini agar tidak fobia ke arah digital selaras perkembangan pantas teknologi masa kini.

“Justeru, PBT perlu didik dengan langkah permulaan wujudkan kod QR di tempat perniagaan dan e-dompet yang boleh pelanggan melakukan transaksi dalam talian,” katanya pada program bual bicara di Facebook malam tadi.

Beliau menjelaskan pelbagai inisiatif disedia Kerajaan Negeri demi membantu wanita memajukan diri termasuk Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) dan Selangor e-Dapur.

NaDI diperluas untuk usahawan wanita yang boleh dipohon tanpa perlu mempunyai premis dan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan peruntukan awal sebanyak RM10 juta.

Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 3,000 peniaga boleh terus berniaga dengan lesen penjaja sementara daripada PBT dengan manfaat tambahan pelan pinjaman minimum RM1,000 dan maksimum RM3,000.

Manakala Selangor e-Dapur dilaksanakan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dalam masa terdekat bagi membantu 1,000 penjaja makanan dan minuman untuk berniaga secara dalam talian.

Dengan peruntukan RM10 juta, peserta yang memohon akan mendapat skim pinjaman mikrokredit untuk menampung kos operasi dan mengadaptasi perniagaan ke platform e-dagang.


Pengarang :