Selangorkini
Mohd Nashrul Mohd Nasir, 38, ditemani ibunya Hamimah Hashim, 61, diberi penerangan oleh seorang jurujual kedai teknologi maklumat (IT) dan elektronik Mohamad Tashriq Mohd Fadzil, 29, ketika hendak membeli sebuah komputer riba bagi kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk anaknya, di sebuah pusat membeli belah di Taman Pelangi pada 23 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PdPR: Sekolah kini dalam peranti elektronik

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Jika suatu ketika dahulu pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah, namun apabila berdepan pandemik Covid-19 yang entah bila akan berkesudahan, menyaksikan peranti itu menjadi medium penting Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bagi mereka yang mempunyai bilangan anak ramai bersekolah, mahu atau tidak, telefon bimbit mahupun komputer, perlu disediakan untuk memastikan anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Ramai dalam kalangan ibu bapa mencari telefon pintar atau komputer terpakai yang dijual pada harga lebih murah bagi membolehkan anak-anak mereka dapat mengikuti proses PdPR dan menurut laporan media, pendakwah terkenal Ustaz Ebit Liew menerima 43,000 mesej daripada individu yang memerlukan kelengkapan gajet untuk PdPR.

Mesej itu diterima selepas pendakwah itu mengumumkan 100 tablet percuma buat pelajar yang terkesan dalam meneruskan PdPR, terutama mereka dari keluarga kurang berkemampuan.

Bagi Mariah Ismail, 45, beliau mempunyai lima anak yang bersekolah dan pendapatan yang diperoleh hasil menjual kuih di Kota Baharu, Kelantan menyebabkan beliau tidak mampu untuk menyediakan gajet seorang satu bagi setiap anaknya.

Oleh itu, pilihan yang ada baginya ialah mencari telefon pintar terpakai untuk diguna secara bergilir oleh anak-anaknya.

Mariah membeli telefon pintar terpakai berharga RM250 bagi memastikan kelima-lima anaknya tidak ketinggalan dalam sesi PdPR semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Tiga anak di sekolah rendah iaitu darjah lima, dua dan pra-sekolah menggunakan telefon pintar saya, manakala dua lagi yang berada di sekolah menengah berkongsi telefon pintar terpakai yang saya beli untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan guru mereka.

“Ini cara terbaik untuk membolehkan anak-anak saya tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya yang tinggal di Kampung Melor, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Bagi seorang bapa di Alor Setar, Kedah pula, beliau terpaksa membeli dua set telefon pintar berharga kira-kira RM1,000 buat dua anaknya yang berada di Tahun Tiga dan Tahun Empat mengikuti PdPR pada waktu yang ditetapkan guru kelas masing-masing.

Azhar Abu Bakar, 58, memilih untuk membeli telefon pintar yang murah kepada anak-anaknya, berbanding komputer riba yang harganya jauh lebih mahal untuk tujuan PdPR.

“Di rumah ada satu komputer riba tetapi saya guna untuk siapkan kerja-kerja pejabat. Jadi, bagi memudahkan proses PdPR, memang perlu belikan juga telefon pintar itu kerana dah menjadi keperluan wajib pelajar sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Tinjauan di sekitar Lembah Klang pula mendapati sejak sesi persekolahan 2021 bermula pada 20 Jan, rata-rata ibu bapa dan pelajar mencari peranti yang sesuai digunakan untuk proses PdPR.

“Kalau sebelum tempoh PKP pelanggan tidak ramai sangat dan untung pun tidak begitu banyak tetapi sejak PdPR dilaksanakan, ramai ibu bapa singgah untuk beli barang-barang aksesori peranti untuk anak-anak mereka,” kata Mohd Shamin Shamsuddin, 24, penolong pengurus sebuah kedai menjual peranti elektronik di sini.

Pekerja di premis menjual peralatan komputer dan komputer riba Md Zainuddin Md Rofi, 28, pula berkata jualan komputer riba sangat menggalakkan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Dalam satu hari itu, dianggarkan lebih enam biji jugalah komputer riba yang terjual, kalau sebelum ini satu atau dua biji sahaja orang beli,” katanya.

Tinjauan di sekitar ibu kota juga mendapati ibu bapa memanfaatkan cuti hujung minggu mengunjungi kedai-kedai yang menjual komputer, komputer riba, telefon pintar atau tablet untuk mencari peralatan bagi kegunaan anak-anak mereka untuk PdPR.

Jurujual sebuah kedai komputer di pusat membeli-belah di Johor Bahru, Johor, Mohamad Tashriq Mohd Fadzil, 29, pula berkata kedai itu mula menjadi tumpuan sebaik kerajaan mengumum untuk melaksanakan PdPR pada 16 Jan.

– BERNAMA

 


Pengarang :