Portal eptrs.my menyediakan sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pecutan Terakhir eptrs.my tingkat penguasaan calon SPM, STPM

SHAH ALAM, 16 JAN: Portal pendidikan Selangor eptrs.my menyediakan program khas ‘Pecutan Terakhir’ untuk meningkatkan penguasaan calon peperiksaan.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut bakal membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tercicir pelajaran akibat Covid-19.

“Program ini lanjutan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang diadakan pada setiap tahun. Susulan penularan Covid-19, kita sediakan modul khas secara dalam talian disediakan pakar Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kerajaan Negeri berharap program sokongan kemahiran ini membantu pelajar kurang berkemampuan seiring usaha memastikan semua anak Selangor menerima akses pendidikan terbaik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap merasmikan portal eptrs.my menerusi Facebook hari ini.

Portal tersebut menyediakan sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM.

Untuk pelajar yang tidak menyertai PTRS, Kerajaan Negeri memberi kata laluan khas kepada pihak sekolah di Selangor bagi membolehkan mereka mengakses portal tersebut.

Pada Mac tahun lepas Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif tersebut yang menyediakan tiga juta soalan mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima 100,000 pendaftaran pelajar sejak mula dilaksana pada April sehingga September.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk sejumlah RM13 juta bagi menjayakan PTRS berbanding RM10 juta pada tahun lepas.

Berikut adalah cara untuk mendaftar: 

 


Pengarang :