Datin Seri Masdiana Muhamad ketika ditemu bual SelangorKini selepas sesi lawatan pusat taska anak-anak petugas barisan hadapan di Taska Tambahan Hospital Banting, Banting pada 30 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis cakna kebajikan anak petugas hadapan

SHAH ALAM, 28 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bersedia membantu berhubung kebajikan dan penjagaan anak petugas barisan hadapan.

Yang dipertuanya berkata Inisiatif Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan diwujudkan menerusi Pakej Kita Selangor adalah langkah tepat ketika golongan tersebut bertarung nyawa memerangi pandemik Covid-19.

“Justeru dalam kesibukan di Pekawanis, kita akan sentiasa menyokong dan sedia membantu dalam hal berkaitan kebajikan anak-anak mereka,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada SelangorKini.

Menurutnya pertubuhan itu juga bersedia berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada untuk bersama membantu menjayakan program berkenaan.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu secara percuma untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari.

Ia melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan seluruh Selangor.


Pengarang :