Yang dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad menyerahkan sumbangan 300 tuala kepada Senator Dr Yaakob Sapari, semalam. Foto Facebook Datin Seri Masdiana Muhamad
SELANGOR

Pekawanis hulur sumbangan buat mangsa banjir Temerloh

SHAH ALAM, 14 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mengagihkan 300 tuala untuk mangsa banjir di Temerloh, Pahang.

Yang dipertuanya berkata sumbangan lain ialah telekung, sejadah, kain pelikat dan barangan dapur.

“Buat masa ini kita serahkan keperluan asas terutamanya melibatkan alatan kebersihan dan kemudahan untuk mereka menunaikan solat.

“Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban dan mengurangkan kerisauan mereka,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada SelangorKini.

Beliau berkata Pekawanis akan menyerahkan kesemua bantuan itu menerusi Misi Bantuan Banjir bermula esok sehingga 18 Januari depan.

Menurutnya, turut sama dalam misi itu ialah sukarelawan dari NGO Persaudaraan dan Kasih Sayang, Sukarelawan Shah Alam, Anak Muda Kota Raja dan Sukarelawan Kapar.

“Fokus utama kami ke sana adalah untuk memberi sumbangan dan membersihkan rumah mangsa banjir,” katanya lagi.

Temerloh antara daerah yang terjejas teruk akibat banjir yang bermula 3 Januari lalu. Daerah lain di Pahang yang turut dilanda bencana itu ialah Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut dan Lanchang.


Pengarang :