Pelajar menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka semasa tinjauan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam pada 25 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelajar diberi kelonggaran rambut panjang dalam tempoh PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Pelajar lelaki yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2020 dan 2021 yang akan ke sekolah di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 20 Januari ini diberikan kelonggaran jika berambut panjang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini yang bersetuju bahawa tiada tindakan dikenakan kepada pelajar berambut panjang.

“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah buat membuat keputusan hasil perbincangan dengan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa walaupun berambut panjang, pelajar dibenar ke sekolah tanpa tindakan guru kerana kedai gunting masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata sektor ekonomi membabitkan kedai gunting rambut di kawasan terbabit masih ditutup selama dua minggu dan akan dinilai Kementerian Kesihatan bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri berkata institusi pengajian tinggi atau sekolah tidak boleh mengenakan syarat kepada pelajar untuk menjalani ujian Covid-19 sama ada bagi memasuki asrama atau untuk menduduki peperiksaan kecuali bagi pelajar yang bergejala sahaja.

Beliau berkata terdapat aduan berkenaan isu tersebut sehinggakan pelajar terpaksa menanggung sendiri kos saringan ujian Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :