Pertandingan e-sukan Selangor Mobile Legends di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 15 April 2018. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Pemain profesional cadang Selangor wujudkan akademi khas e-sukan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan akademi khusus bagi melahirkan bakat baharu e-sukan berbanding menganjurkan pertandingan secara fizikal.

Pemain profesional pasukan FIFA Malaysia Nur Amirul Afandi berkata langkah itu bagi memastikan kesinambungan dalam bidang yang semakin diminati ramai.

Jelasnya, penubuhan akademi juga boleh menepis tanggapan masyarakat terhadap permainan elektronik yang didakwa kurang bermanfaat.

“Kerajaan Negeri boleh bina akademi atau menganjurkan program berbentuk hiburan pendidikan untuk menerangkan kepada masyarakat berkenaan e-sukan. Saya lihat banyak pertandingan dianjurkan tetapi hasil selepas itu tiada,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Dikenali sebagai Amtuah dalam Team Haq, Nur Amirul, 27, menjelaskan e-sukan dipandang tinggi di Eropah termasuk Jerman yang menyediakan pakar pemakanan dan fisioterapi kepada setiap pasukan.

Menurutnya, bidang itu turut menekankan isu kekuatan fizikal dan mental selain pemakanan berikutan pemain akan berdepan suasana berbeza ketika menyertai pertandingan.

“Di Eropah, mereka tekankan perkara yang nampak kecil tetapi sebenarnya memberi impak besar kepada pemain kerana setiap pertandingan pastinya berbeza daripada segi masa dan cuaca,” katanya yang kini membuat persiapan kelayakan Piala Dunia individu pada Februari.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memperuntuk RM3 juta dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi pembangunan e-sukan.

Amtuah sebelum ini pernah menjadi wakil tunggal Asia ke Kejohanan FIFA 17, Piala Sukan Elektronik 2016 (ESWC) di Paris selain mewakili kelab bola sepak Jerman Schalke 04 dalam kejohanan Virtuelle Bundesliga pada 2018.

Pemain utama Team Haq ini juga terpilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2021 Hanoi selepas penganjur kejohanan bercadang mempertandingkan FIFA Online 4.

Pada Mac lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Pertandingan Siber Selangor (SGC) versi duduk rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Turut dianjurkan Selangor Xtiv Virtual e-Sport.

 

 


Pengarang :