Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Peminjam Yayasan Selangor diminta semak status lupus pinjaman

SHAH ALAM, 25 JAN: Semua peminjam pelajaran Yayasan Selangor diminta menyemak status masing-masing susulan inisiatif pelupusan pinjaman yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor menerusi ‘Pakej Kita Selangor’ pada Rabu lepas (20 Jan).

Yayasan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan peminjam yang akan menerima manfaat pelupusan baki pinjaman itu adalah sebahagian graduan tajaan peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di institut pengajian tinggi (IPT) di bawah kerajaan negeri selain IPT awam serta swasta.

Menurut kenyataan itu, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor tersebut akan memberi manfaat kepada 762 peminjam dengan implikasi kewangan berjumlah RM7.17 juta.

Bagaimanapun, peminjam yang berkemampuan membayar balik pinjaman pelajaran diminta meneruskannya mengikut jadual supaya dana yayasan itu akan sentiasa mencukupi bagi membiayai bantuan pendidikan semasa dan kegunaan generasi akan datang.

Kenyataan itu menyebut pelupusan baki pinjaman tersebut diberikan kerana menyedari ketidakmampuan peminjam melunaskannya susulan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memberi kesan kepada pendapatan golongan terlibat.

“Ia juga akan dapat meringankan beban peminjam dan juga waris yang dibelenggu masalah kewangan akibat kesan pandemik.

“Mereka yang ingin mengetahui status atau maklumat lanjut berkenaan pinjaman masing-masing boleh menghubungi Bahagian Pembiayaan Pendidikan secara e-mel di alamat [email protected] atau menghubungi 03-7669 1100 sambungan 115/125/145/162/212/238,” menurut kenyataan itu.

Yayasan Selangor turut memaklumkan pelupusan pinjaman itu tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri kerana pihaknya beroperasi tanpa mendapat sebarang geran atau peruntukan daripada mana-mana pihak.

“Yayasan Selangor adalah sebuah syarikat berhad yang menjana dana sendiri melalui sumber-sumber yang dibenarkan dan memberikan bantuan serta perkhidmatan pendidikan kepada rakyat Selangor termasuk pemberian biasiswa, pembiayaan pinjaman pelajaran boleh ubah dan pelbagai program pendidikan lain,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :