Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Penduduk Taman Sri Muda jalani saringan Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 7 JAN: Penduduk di kawasan perumahan sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Tinjauan SelangorKini di lokasi mendapati puluhan penduduk beratur seawal jam 8 pagi bagi menjalani ujian bersasar berlangsung di perkarangan Dewan Azalea di taman perumahan berkenaan.

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan memeriksa suhu badan.

Lokasi saringan turut dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Saringan berakhir esok dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Seperti saringan di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana dan Meru, kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lalu bagi membendung penularan wabak.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam kenyataan memaklumkan saringan dipergiat bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus dan setakat ini ia pada tahap tujuh hingga 25 peratus.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sekiranya 20 kes positif dikesan dalam kalangan 100 individu yang menjalani saringan, ini bermaksud masih banyak kes belum dikesan dalam kalangan komuniti.

Semalam, Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi Covid-19 dalam negara selepas merekodkan 965 kes termasuk satu jangkitan import, lebih separuh daripadanya dicatat di Klang.


Pengarang :