Longgokan sampah yang tidak terkawal di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 31 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Penghuni PPR Lembah Subang 1 resah ‘hidup’ dalam sampah

PETALING JAYA, 31 JAN: Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 resah kerana terpaksa ‘hidup’ dalam sampah berikutan ketiadaan kontraktor penyelenggaraan sejak awal bulan ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Blok 1 Hairuddin Idris berkata keadaan ruang depan dan belakang di lapan blok bangunan yang dipenuhi timbunan sisa pukal mencacatkan pemandangan.

Pengerusi KRT Blok 1 PPR Lembah Subang 1, Hairuddin Idris. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya, longkang tersumbat dan air bertakung juga dikhuatiri menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes sekali gus mengundang masalah kesihatan kepada penduduk setempat.

“Kami merayu supaya kontraktror baharu segera dilantik bagi mengendalikan segala aspek penyelenggaran dengan baik demi kepentingan masyarakat.

“Golongan berpendapatan rendah (B40) seperti kami bukan mahu perumahan yang cantik tetapi cukup sekadar memastikan tahap kebersihan terjaga terutama sistem pengurusan sampah dan longkang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Majlis Perwakilan Penduduk, Sabariah Kamaruddin. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Majlis Perwakilan Penduduk Sabariah Kamaruddin berkata kekangan dihadapi ketika ini memaksanya menggerakkan inisiatif mengumpul wang RM5 daripada setiap keluarga untuk membayar upah pengutip sampah dari luar.

“Alhamdulillah, ada sedikit perubahan tetapi kami amat memerlukan penyelenggaraan tetap daripada kontraktor yang seharusnya dilantik untuk melakukan kerja tersebut,” katanya.


Pengarang :