Dr Siti Mariah Mahmud menyerahkan sumbangan gerai mudah alih kepada peniaga ketika Majlis Pembukaan Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penjaja di Dataran Puchong Permai terima 12 gerai mudah alih

PUCHONG, 17 JAN: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang memberi sumbangan 12 gerai mudah alih dan sebuah motosikal roda tiga kepada penjaja sekitar Puchong Permai hari ini.

Wakil rakyatnya Dr Siti Mariah Mahmud berkata kemudahan dengan harga keseluruhan berjumlah RM4,800 ditempatkan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Permai.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan penjaja mempunyai tempat khusus untuk berniaga selain membantu meningkatkan pendapatan mereka susulan penularan Covid-19.

“Bantuan gerai bergerak masih dibuka, justeru saya berharap penjaja tepi jalan terutama di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai hadir ke pejabat DUN untuk mohon bantuan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Gerai Mudah Alih di Dataran Penjaja Puchong Permai hari ini.

Siti Mariah berkata Dataran Penjaja tersebut boleh menempatkan lebih 60 penjaja selain tempat strategik yang menjadi tumpuan orang ramai terutama hari minggu.

Pada 11 Januari, Dato’ Menteri Besar berkata rundingan bersama penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berhubung penempatan lokasi baharu sedang dilaksanakan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walau keputusan tersebut sukar diterima namun penjaja perlu berpindah kerana lokasi itu ketika ini menjadi punca kesesakan jalan raya.

Pada 28 Disember 2020, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan dan melanggar syarat.

MBSJ berkata penjaja di kawasan tersebut diberi masa mencukupi untuk berpindah sejak 2019.


Pengarang :