Selangorkini
Kawasan sekitar Putrajaya yang menjadi tumpuan ramai kelihatan lengang ketika tinjauan pada 1 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Penunggang basikal di Putrajaya gagal patuhi keselamatan berdepan tindakan

PUTRAJAYA, 2 JAN: Bermula 9 Januari, polis Putrajaya akan mengambil tindakan terhadap penunggang basikal yang gagal mematuhi ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata individu yang didapati bersalah akan dirujuk ke mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

Beliau berkata penguatkuasaan dibuat untuk memastikan keselamatan penunggang basikal di Putrajaya yang semakin menjadi tumpuan dengan anggaran 1,000 orang berbasikal pada hari minggu.

“Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya selepas Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

“Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng iaitu hukuman tersebut tidak boleh dikompaun (NC),” katanya.

Mohd Fadzil berkata statistik kemalangan jalan raya melibatkan basikal di Putrajaya merekodkan enam kes pada 2019 dan kesemua mereka mengalami cedera ringan, manakala 11 kes direkodkan tahun lepas dengan satu kes maut.

Beliau berkata penunggang basikal harus mengambil serius terhadap ciri-ciri keselamatan bagi membolehkan pengguna jalan raya yang lain peka dengan kehadiran mereka.

“Pihak polis ingin menegaskan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya.

Operasi Khas Basikal yang dilaksanakan bermula 1 hingga 3 Januari bertujuan menasihati dan mengingatkan penunggang basikal tentang penguatkuasaan yang akan bermula pada 9 Januari.

Penguatkuasaan itu dilaksanakan di Putrajaya ekoran seorang penunggang basikal wanita maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori di Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10 pada 19 Disember lepas.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terkilan dengan kealpaan pihak penganjur mengenai latihan terjun BASE semalam yang mengorbankan Azuan Taharudin, 49.

Beliau berkata pihak penganjur seharusnya memaklumkan sebarang aktiviti yang dirancang bagi membolehkan polis membuat persiapan dan penilaian dari segi kawalan trafik dan keselamatan.

Dalam kejadian 5.35 petang semalam, mangsa bersama tujuh lagi penerjun Pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang melakukan latihan terjunan BASE sempena Hari Wilayah 2021 di bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Mohd Fadzil berkata polis akan meminta surat tunjuk sebab daripada PPj kerana tidak memaklumkan kepada polis mengenai latihan tersebut.

Katanya kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

– BERNAMA

 


Pengarang :