Tan Sri Lee Lam Thye pada sidang media selepas Siaran Khas Rukun Negara Hour di Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 16 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Permai: Pihak berkuasa disaran wujud laman sesawang respons rakyat

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pihak berkuasa disaran mewujudkan laman web khas untuk rakyat menyalurkan maklum balas berhubung keberkesanan pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata rakyat juga boleh memberi pandangan sama ada langkah yang dilaksanakan tersebut sesuai untuk mereka.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan Permai perlu dipantau rapi bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

“Sekiranya pemantauan menunjukkan ada keperluan untuk pengubahsuaian pelan bagi memastikan keberkesanan maksimum, maka pelan tersebut perlu diubah suai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee turut menyarankan rakyat mewujudkan tabung komuniti yang membolehkan setiap mereka menyumbang mengikut kemampuan, dan dana yang dikumpul boleh dimanfaatkan untuk melonjakkan lagi usaha kerajaan.

Beliau turut meminta kerajaan melihat keperluan pertubuhan bukan kerajaan yang membantu menangani masalah kesihatan mental seperti Befrienders KL, memandangkan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik memberi kesan langsung terhadap kesihatan mental rakyat.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan Permai bernilai RM15 bilion yang mengandungi 22 inisiatif bagi menangani kesan Covid-19 dalam kalangan rakyat dan juga komuniti perniagaan di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :