Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Petaling catat 375 kes baharu, majoriti saringan pekerja asing

SHAH ALAM, 23 JAN: Sebanyak 375 kes baharu Covid-19 dicatatkan Petaling semalam, kebanyakan dari saringan pekerja asing di tapak binaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata mukim Petaling merekodkan 161 kes, Damansara (127), Sungai Buloh (55), Bukit Raja (31) dan penjara (satu).

Menurut agensi itu, Hulu Langat mencatatkan 131 kes, sebahagian besarnya di Kajang iaitu 77 kes, Cheras (23), Ampang (22), Semenyih (tujuh) dan masing-masing satu kes di Beranang dan Hulu Langat.

“Kes di Klang menurun kepada 69 berbanding 97 kes semalam. Gombak pula merekodkan 67 kes iaitu 26 di mukim Batu, Rawang (20), Setapak (lapan), Hulu Kelang (tujuh), Kuang (lima) dan penjara (satu),” maklum agensi itu di Facebook.

Jabatan itu berkata Kuala Langat mencatatkan 48 kes, Sepang (42), Kuala Selangor (20), sementara Hulu Selangor dan Sabak Bernam masing-masing 15 kes.

Selangor mencatatkan 782 kes Covid-19 semalam dengan keseluruhan kes 51,963. Sembilan kematian turut dilaporkan menjadikan bilangan yang maut 118 kes sejak pandemik menular.


Pengarang :