Pekerja pembersihan Bakti Suci Holdings Sdn Bhd menerima sumbangan bakul makanan asas Kerajaan Negeri daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Wisma Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Petugas pembersihan terima makanan sumbangan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 JAN: Seramai 150 pekerja pembersihan Bakti Suci Holdings Sdn Bhd menerima bakul makanan asas sumbangan Kerajaan Negeri.

Ketua pegawai eksekutif (menanggung tugas)nya berkata bantuan Pakej Kita Selangor disalurkan menerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memberi makna besar kepada pekerja am yang bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor di sepanjang pandemik Covid-19.

“Mereka adalah petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa henti untuk membersihkan pejabat dan beberapa premis. Sumbangan tersebut sudah tentu menggembirakan golongan berkenaan,” kata Mohd Nuri Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bakul makanan asas di Wisma Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di sini.

Hadir sama, Pengurus Operasi Yide, Md Arifin Jaafar dan Pengurus Besar Bakti Suci Integrated, Mohd Zaki Abdul Latif.

Bakti Suci Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Mais ditubuhkan bagi perkhidmatan pemaju pembangunan, pembersihan serta perkhidmatan teknologi maklumat.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Pakej Kita Selangor dengan peruntukan RM1.3 juta untuk pelaksanaan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk Selangor yang terjejas.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sumbangan diagih kepada pemandu teksi, bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemandu lori KDEB Waste Management.


Pengarang :