SHAH ALAM, 11 JAN: Aktiviti riadah dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikuat kuasa bermula Rabu.
Perdana menteri berkata kebenaran tersebut bagi mengelak tekanan kepada kesihatan mental susulan pengasingan diri di rumah untuk tempoh lama.
“Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenar meninggalkan rumah untuk beriadah bersama keluarga sahaja,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini.
Beliau berkata aktiviti tersebut dibenarkan bersama anggota isi rumah sahaja dengan memastikan jarak dari orang lain adalah dua meter setiap masa.
“Kalau hendak joging, jangan lebih dua orang. Jika berbasikal, janganlah secara berkumpulan, cukuplah seorang sahaja,” kata beliau lagi.