Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga KRT Al-Husna Seksyen 20 menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk sekitar Taman Jalan Landak di Seksyen 20 Shah Alam pada 27 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP: Aktiviti rukun tetangga dibenar untuk rondaan, salur bantuan, jahit PPE

KOTA TINGGI, 30 JAN: Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) kini dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hanya melibatkan program tertentu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata antara program dibenarkan ialah rondaan keselamatan di kawasan perumahan, misi menyalurkan bantuan banjir serta aktiviti penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE).

Beliau berkata pada masa ini terdapat 8,274 KRT dan 5,333 SRS yang aktif di seluruh negara.

“Aktiviti komuniti seperti kursus, bengkel dan lain-lain yang melibatkan ramai orang masih tidak dibenarkan… yang dibenarkan hanya program berbentuk kemanusiaan. Sebagai contoh, dalam berdepan bencana banjir lepas, kita tetapkan SRS untuk membantu menjaga keselamatan kawasan kediaman.

“Ini kerana ketika rakyat berdepan musibah, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan melakukan aktiviti tidak sihat seperti pecah rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada program Misi Bantuan Banjir Negeri Johor anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini.

Bagi KRT, Halimah menjelaskan antara aktiviti dibenarkan termasuk program menjahit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19, dengan peruntukan geran daripada Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KRT ini sudah diperkasakan supaya peranan mereka kepada komuniti nampak jelas. Di Johor, antara KRT yang terlibat untuk aktiviti ini adalah KRT Senggarang. Selain itu, KRT juga dibenarkan untuk menyediakan bekalan keperluan asas kepada mangsa banjir,” katanya.

Pada 14 Jan lepas, Halimah memaklumkan semua operasi jentera perpaduan negara ditangguhkan sementara berikutan pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri susulan peningkatan kes Covid-19.

Berhubung misi bantuan itu, Halimah yang juga ahli parlimen Kota Tinggi menghargai usaha yang dilakukan MAIWP dalam menyantuni mangsa banjir, terutama apabila ramai daripada mereka turut hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata pihaknya menyediakan bantuan berjumlah RM5 juta kepada empat negeri yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

“Johor merupakan negeri pertama penyaluran bantuan berkenaan sebelum misi sama diteruskan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Setiap negeri akan menerima bantuan RM1.25 juta melibatkan barangan seperti dapur gas, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi dan telekung. Ia juga termasuk kos RM250,000 bagi membaik pulih masjid dan surau yang terjejas akibat banjir,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :