Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan Sukma di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

PKP: Atlet SUKMA Selangor ikuti program latihan maya

SHAH ALAM, 14 JAN: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor sentiasa bersedia walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalani latihan persendirian di rumah masing-masing.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) negeri berkata jurulatih akan memantau sesi latihan secara dalam talian dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi atlet pada tahap terbaik.

“Persediaan awal sudah dibuat dengan menyediakan program latihan secara virtual untuk memastikan atlet terus berada dalam keadaan cergas,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Menurutnya, semua pusat latihan ditutup dan program latihan dihentikan sementara sehingga kerajaan mengumumkan kebenaran membuka semula operasi.

Beliau menambah pihaknya memandang serius dengan situasi semasa kes Covid-19 sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan PKP.

“Berikutan kes yang terjadi di Majlis Sukan Negara juga meningkatkan kekhuatiran dalam kalangan atlet, jurulatih dan ibu bapa mereka,” katanya.

Sebelum ini, MSN merancang membenarkan atlet bagi sukan tertentu memulakan latihan harian secara sepenuh masa bermula 4 Januari.

Perancangan itu mengambil kira acara sukan yang memiliki kemudahan dan fasiliti sendiri seperti renang, memanah, olahraga, tenpin boling, badminton, gimnastik dan gimrama.


Pengarang :