AGENDANASIONAL

PKP: Banci dalam talian dibuka semula – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menyusun semula banci bersemuka dan membuka semula platform banci dalam talian, e-Census sebagai usaha mengekang penularan Covid-19, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu, orang ramai yang belum membuat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci melalui www.mycensus.gov.my.

“DOSM memaklumkan sehingga kini, dianggarkan seramai 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada kira-kira 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020),” kata beliau pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah PKP selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari ini hingga 4 Februari depan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama beliau memaklumkan 35 kes penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 telah didakwa di mahkamah dengan 21 daripadanya didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya,” katanya.

Sehingga 18 Januari, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan 141 kes daripadanya masih dalam siasatan.

Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah SKMM juga telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :